Monday, 19 October 2015

GULAI/KARI AYAM UTARA SIMPLE TAPI SANGAT SEDAP

Sejak kahwin dan menetap di Perlis, saya terpaksalah belajar masakan kegemaran orang melayu terutamanya gulai, kurma, masak lemak, masak sambal, masak merah dan sebagainya. Beberapa tahun duduk sini saya dah boleh buat serba sedikit masakan orang utagha ni..cayalah kan. Lagipun semuanya menyelerakan ditambah lagi dengan sambal belacan pelbagai versi. Rasanya saya sudah mencuba pelbagai resipi di internet. Namun, saya suka gulai yang kuahnya cair. Sebelum ni, saya selalu masak kari kuah pekat tapi sekarang lebih suka kuah cair tapi tidaklah terlalu cair. Lain orang, lain citarasanya kan. Tetapi kalau nak mencuba resepi simple ini, silakanlah yee...


Gulai dah siap, cukup untuk makan tengahari dan malam..


BAHAN-BAHAN :
- ayam - saya ambil dua belah paha potong sederhana.
- 1 biji ubi kentang - belah 4
- Santan KARA 1/2 kotak ( Lagi sedap santan original ) - santan KARA je stok dalam rumah selalu.
- Garam
- Gula
- penambah perisa

BAHAN KISAR/ TUMBUK
- 1 biji bawang merah
- 2 ulas bawang putih
- 1/2 inci halia

BAHAN TUMIS
- 4 sekawan - pelaga, kayu manis, bunga cengkih dan bunga lawang (Serba 3 semuanya kecuali kayu manis ambil setengah batang saja)
- 1 biji bawang merah ( hiris nipis)
- 1 ulas bawang putih ( hiris nipis )
- 1/2 inci halia ( hiris nipis )
- 2 tangkai daun kari

PASTE REMPAH
- 3 sudu besar rempah kari Allagapas + bahan tumbuk/kisar tadi + air sedikit. Kacau sebati.

CARA MENYEDIAKANNYA :

1. Panaskan minyak cukup untuk menumis bawang dan rempah nanti.
2. Masukkan bahan tumis. Saya masuk sekali gus. Kacau hingga bau harum.
3. Masukkan paste rempah tadi. Kacau hingga garing. Guna api perlahan dan kacau jangan sampai    hangus nanti gulai rasa pahit.
4. Sesudah rempah naik minyak, masukkan ayam dan gaul sebati. Masukkan air sedikit dan kacau.
5. Masukkan kentang dan kacau sekejap.
6. Masukkan santan dan kacau. Masukkan air.
7. Perlahankan api semula dan biar hingga pecah minyak. Lama juga nak tunggu minyak naik..

8. Apabila sudah pecah minyak, bolehlah angkat dan hidang dengan nasi putih.




Selamat Mencuba :)

No comments: